Sunday, February 8, 2015

Pertukaran Guru

Pembukaan sekolah pada 11 Januari 2015 yang lalu, warga SK Pechah Rotan dikejutkan dengan pertukaran salah seorang guru di sini. Berita yang diterima agak mendadak namun itulah lumrah kehidupan. Orang yang dimaksudkan adalah Cikgu Mohd Nazir bin Muda yang merupakan guru opsyen Bahasa Melayu. Suasana sayu menyelubungi atma memandangkan kali terakhir pertemuan bersama beliau adalah 4 Januari lalu iaitu sewaktu sesi pendaftaran murid ke SK Pechah Rotan (beliau adalah guru kelas Tahun 3 Bestari) diikuti dengan taklimat bersama para pegawai PPD KT pada hari yang sama.


 Cikgu Mohd Nazir bin Muda


Pemergian beliau ke SK Batu Rakit walaubagaimanapun kemudiannya diganti oleh Cikgu Faridah bt Abdul Rahman, dari SK Pagar Besi, yang merupakan opsyen Sains dan Matematik. Istimewanya Cikgu Faridah pernah menetap selama tiga tahun di kuarters guru SK Pechah Rotan berikutan suami beliau, Cikgu Suradi yang ketika itu bertugas di sekolah ini. Selain itu, dua orang anaknya juga sempat bersekolah di sini sebelum berpindah sekolah lain setelah Cikgu Suradi ditukarkan ke SK Gong Badak.


Cikgu Faridah binti Abdul Rahman


Warga SK Pechah Rotan merakamkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Nazir atas bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan dengan penuh dedikasi selama berkhidmat di SK Pechah Rotan ini. Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang setimpal seiring jasa-jasa sepanjang permukiman ilmu beliau di sini. 

Selamat maju jaya, cikgu Nazir!

... dan Selamat Datang Cikgu Faridah!


Saturday, February 7, 2015

Pendaftaran Persekolahan 2015 dan Taklimat bersama Tuan Pengarah PPD KT

Pada 4 Januari 2015, SK Pechah Rotan telah berjaya mengadakan sesi pendaftaran musim baru persekolahan sesi 2015 yang bermula sedari jam 9.00 pagi lagi. Dengan kehadiran kesemua ibu bapa serta penjaga, SK Pechah Rotan telah menerima pendaftaran seramai 47 orang murid yang ingin bersekolah di sini. 

[Pertambahan murid telah berlaku selepas pembukaan sesi pembelajaran pada 11 Januari 2015, sehingga kini mencatat angka seramai 54 orang murid (30 orang murid perempuan dan 24 orang murid lelaki) -Admin]

Adalah difahamkan murid-murid sekolah ini datang dari kampung-kampung berhampiran yang terdiri dari Kampung Terap Pechah Rotan dan Kampung Pechah Rotan.



Pendaftaran Murid Tahun 1 Bestari bersama guru kelas, 
Ustazah Rusnani bt Mamat.



Pendaftaran Murid Tahun 2 Bestari bersama guru kelas, 
Teacher Muhaini bt Mohamad Zain.


Pendaftaran Murid Tahun 3 Bestari bersama guru kelas, 
Cikgu Mohd Nazir bin Muda.



Pendaftaran Murid Tahun 4 Bestari bersama guru kelas, 
Ustazah Nur Adilah bt Mustafa.
 



Pendaftaran Murid Tahun 5 Bestari bersama guru kelas, 
Cikgu Sophian bin Md Nor.


Pendaftaran Murid Tahun 6 Bestari bersama guru kelas, 
Teacher Masliza bt Mohammed.


Seusai majlis pendaftaran murid bersama-sama ibu bapa dan penjaga, para guru SK Pechah Rotan telah mengikuti taklimat khas bersama Tuan Pengarah PPD Kuala Terengganu, Encik Azhar bin Abu Bakar dan Timbalan Ketua PPD Kuala Terengganu, Encik Jelani bin Sulong.


Guru Besar dan para guru menyambut kedatangan Tuan Pengarah dan Timbalannya ke SK Pechah Rotan.


Bersempena dengan musim persekolahan 2015 ini, Tuan Pengarah PPD dan Timbalannya telah memanfaatkan masa selama dua jam bagi menitipkan nasihat dan motivasi kepada semua guru SK Pechah Rotan agar dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih gigih lagi sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.

Berikutan juga SK Pechah Rotan merupakan satu-satunya SKM yang terletak dalam Kuala Terengganu, maka pihak PPD Kuala Terengganu telah berbesar hati mengangkat SK Pechah Rotan sebagai anak angkat agar murid-murid sekolah ini tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.





Sekitar suasana taklimat yang telah dijalankan di Makmal Komputer SK Pechah Rotan.


Majlis telah berakhir dengan sedikit jamuan ringan bagi meraikan kedatangan Encik Azhar dan Encik Jelani.
 
Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Tuan Pengarah dan Timbalannya untuk hadir ke SK Pechah Rotan biarpun terpaksa mengambil masa cuti sempena Maulidur Rasul 1436H bagi menyampaikan amanat yang sangat berguna kepada kami semua.

Keputusan UPSR 2014

Tanggal 26 November 2014 yang lalu, sekali lagi SK Pechah Rotan mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila seramai 18 orang calonnya telah menerima keputusan masing-masing. Seramai dua orang calon telah berjaya mencatatkan keputusan 4A 1B sebagai keputusan terbaik UPSR 2014 peringkat SK Pechah Rotan. Calon-calon tersebut ialah :

Pertama : Muhammad Haziq Danial bin Abdul Rahman

Adik Haziq Danial bersama ibunya ketika menerima hadiah Tokoh Syahsiah dan Tokoh Ko-Kurikulum sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SK Pechah Rotan 2014.


Kedua : Aisyah Maisarah binti Zakaria

Adik Aisyah Maisarah bersama ibunya ketika menerima hadiah Tokoh Akademik sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SK Pechah Rotan 2014.


Keputusan UPSR 2014 kali ini mencatatkan penurunan GPS sekolah kepada 2.34 berbanding 2.11 pada tahun 2013. Pun begitu, SK Pechah Rotan masih lagi mengekalkan pencapaian Band 2 sebagaimana tahun sebelumnya.

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon UPSR 2014 dan sentiasa mendoakan agar mereka memperoleh kejayaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi nanti, amin wa insyaAllah.