Pada 4 Januari 2015, SK Pechah Rotan telah berjaya mengadakan sesi pendaftaran musim baru persekolahan sesi 2015 yang bermula sedari jam 9.00 pagi lagi. Dengan kehadiran kesemua ibu bapa serta penjaga, SK Pechah Rotan telah menerima pendaftaran seramai 47 orang murid yang ingin bersekolah di sini.
[Pertambahan murid telah berlaku selepas pembukaan sesi pembelajaran pada 11 Januari 2015, sehingga kini mencatat angka seramai 54 orang murid (30 orang murid perempuan dan 24 orang murid lelaki) -Admin]
Adalah difahamkan murid-murid sekolah ini datang dari kampung-kampung berhampiran yang terdiri dari Kampung Terap Pechah Rotan dan Kampung Pechah Rotan.
Pendaftaran Murid Tahun 1 Bestari bersama guru kelas,
Ustazah Rusnani bt Mamat.
Pendaftaran Murid Tahun 2 Bestari bersama guru kelas,
Teacher Muhaini bt Mohamad Zain.
Pendaftaran Murid Tahun 3 Bestari bersama guru kelas,
Cikgu Mohd Nazir bin Muda.
Pendaftaran Murid Tahun 4 Bestari bersama guru kelas,
Ustazah Nur Adilah bt Mustafa.
Pendaftaran Murid Tahun 5 Bestari bersama guru kelas,
Cikgu Sophian bin Md Nor.
Pendaftaran Murid Tahun 6 Bestari bersama guru kelas,
Teacher Masliza bt Mohammed.
Seusai majlis pendaftaran murid bersama-sama ibu bapa dan penjaga, para guru SK Pechah Rotan telah mengikuti taklimat khas bersama Tuan Pengarah PPD Kuala Terengganu, Encik Azhar bin Abu Bakar dan Timbalan Ketua PPD Kuala Terengganu, Encik Jelani bin Sulong.
Guru Besar dan para guru menyambut kedatangan Tuan Pengarah dan Timbalannya ke SK Pechah Rotan.
Bersempena dengan musim persekolahan 2015 ini, Tuan Pengarah PPD dan Timbalannya telah memanfaatkan masa selama dua jam bagi menitipkan nasihat dan motivasi kepada semua guru SK Pechah Rotan agar dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih gigih lagi sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.
Berikutan juga SK Pechah Rotan merupakan satu-satunya SKM yang terletak dalam Kuala Terengganu, maka pihak PPD Kuala Terengganu telah berbesar hati mengangkat SK Pechah Rotan sebagai anak angkat agar murid-murid sekolah ini tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.
Sekitar suasana taklimat yang telah dijalankan di Makmal Komputer SK Pechah Rotan.
Majlis telah berakhir dengan sedikit jamuan ringan bagi meraikan kedatangan Encik Azhar dan Encik Jelani.
Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Tuan Pengarah dan Timbalannya untuk hadir ke SK Pechah Rotan biarpun terpaksa mengambil masa cuti sempena Maulidur Rasul 1436H bagi menyampaikan amanat yang sangat berguna kepada kami semua.