Tuesday, October 23, 2018

Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform Peringkat Sekolah


هَلْ تَعْرِفُ مَا هُوَ المُخَيَّمُ لِفِرَقِ اْلأَزْيَاءِ المَدْرَسِيَّةِ؟
 
 (Adakah anda tahu apakah itu Perkhemahan Unit Beruniform?)




SYUKUR kepada Ilahi kerana dalam keripuhan agenda, SK Pechah Rotan dapat juga menganjurkan Perkhemahan Unit Beruniform peringkat sekolah pada tahun ini. Perkhemahan selama tiga hari ini telah bermula pada hari Khamis, 18 Oktober 2018 dan berakhir pada hari Sabtu, 20 Oktober 2018. Kebiasaannya perkhemahan ini diadakan penggal pertama persekolahan namun disebabkan oleh kepadatan taqwim maka perkhemahan ini terpaksa mengambil waktu selepas UPSR.


Pergerakan Puteri Islam (فرقة الفتيات المسلمات) dan Pasukan Pengakap (فرقة الكشافة)


Kalam perasmian oleh Tuan PPD Kuala Nerus


Majlis peramian perkhemahan tahunan ini telah dijalankan pada sebelah petang Khamis di tapak perkhemahan SK Pechah Rotan. Pihak sekolah juga turut berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana Tuan PPD Kuala Nerus, YM Hj. Tg. Azelam b. Tg. Abdullah, telah sudi hadir bagi merasmikan program perkhemahan peringkat sekolah kali ini. Kehadiran beliau sememangnya telah menambahkan lagi keceriaan program dan semangat para peserta bagi mengikuti perkhemahan yang dijalankan.




Perkhemahan tahun ini diisi dengan aktiviti seperti Mencipta Pakaian Daripada Bahan Terbuang, Harta Karun dan Kompas, Riadah dan Senaman, LDK dan Kembara Pagi. Acara Kembara Malam terpaksa ditangguhkan dan diganti dengan LDK berikutan hujan lebat yang melanda pada malam pertama. Turut menyerikan lagi acara tahunan ini ialah pertandingan Gajet dan Ikatan, Masakan dan Kawad Kaki. Paling ditunggu oleh para peserta ialah aktiviti BBQ pada malam kedua yang berjaya menyuntik tenaga tambahan dan semangat setelah berpenat lelah mengikuti aktiviti yang pada pada sebelah siangnya. Sokongan warga kaki tangan sekolah, guru KAFA, guru ganti bersalin dan anggota PIBK banyak melicinkan lagi agenda yang diatur sepanjang perkhemahan tahun ini.


Taklimat untuk aktiviti Harta Karun dan Kompas
Sebahagian aktiviti LDK yang dijalankan

 

Sekitar kemeriahan suasana pertandingan memasak

 




Aktiviti keagamaan tidak dilupakan dalam perkhemahan ini. Bahkan pengisian seperti solat berjemaah, kuliah Maghrib dan kuliah Subuh serta Muhasabah diri menjadi antara pengisian yang tidak kurang penting pada peringkat sekolah untuk menggilap syakhsiah dan kemenjadian murid sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Slot Who wants to be Daie? telah diperkenalkan dalam kuliah Subuh hari kedua dengan segmen pertamanya Kisah dan Pengajaran Rasul Pilihan yang memberikan peluang kepada murid tampil kehadapan dalam masa lima minit dan menyampaikan hasil kerja kumpulan yang diberikan. Begitu juga dengan kehadiran dua orang guru pelatih opsyen Pendidikan Islam, Ustaz Asmadi dan Ustaz Izzat Rifqi dari IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail yang turut memberikan sentuhan tersendiri dalam pengisian yang dijalankan juga telah memberikan impak positif dalam kalangan peserta.



Kembara pagi



Perkhemahan tahun ini telah melabuhkan tirainya pada hari ketiga, Sabtu, jam 11.30 pagi dengan acara perasmian penutup dan penyampaian hadian. Pihak sekolah berasa sangat bersyukur kerana perkhemahan tahun ini tidak mendatangkan sebarang kemalangan kepada peserta selain musibah hujan lebat yang telah dapat ditangani dengan pastas dan baik sekali.

 

Penyampaian hadiah

Majlis dipengerusikan oleh Pn Masliza bt Mohammed


Sehingga bertemu kembali pada tahun hadapan, insyaAllah...

 

Gambar kenangan para peserta perkhemahan tahun ini

Saturday, October 13, 2018

KEJOHANAN OLAHRAGA DAN SUKANEKA KALI KE 15

     SK Pechah Rotan telah mengadakan Kejohanan Olahraga Dan Sukaneka Kali ke 15 pada 9 dan 10 Oktober 2018. Kejohanan tersebut yang di laksanakan di Padang SK Pechah Rotan turut disertakan dengan acara untuk ibubapa. Kejohanan kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh ibubapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru. 

     Tuan Haji Zakaria Bin Abdul Rahman, Pegawai Perhubungan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus telah merasmikan penutupan kejohanan pada kali ini. Dalam ucapan, beliau menganggap kejohanan ini sangat berjaya dan mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak sekolah dan PIBG yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan mempamerkan sikap kerjasama yang baik dalam melaksanakan kejohanan kali ini.



Acara membawa bola pimpong dalam sudu


Acara 4 X 80m Lelaki Tahap 2

Penyampaian Hadiah


Tn. Hj Zakaria melepaskan peserta bagi 
acara terompah gergasi



Acara basikal lambat



Penyampaian hadiah kepada pemenang



 Penyampaian cenderahati