Tuesday, November 20, 2018

Sambutan Maulid al-Rasul 1440H dan Majlis Khatam al-Quran

Kedatangan bulan Rabiul Awal 1440H kali ini menyaksikan sambutan Maulid al-Rasul peringkat SK Pechah Rotan diraikan buat sekian kalinya. Majlis yang diadakan pada hari Khamis, 15 November 2018 ini telah bermula dari jam 8.30 pagi lagi dan bertempat di Dewan Ibnu Sina, SK Pechah Rotan.


Ucapan Ketua Panitia Pendidikan Islam & Bahasa Arab

Ketua Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Ustazah Nur Adilah binti Mustafa, telah menyampaikan kata-kata aluan dan taklimat sebelum majlis bermula. Seterusnya pengisian slot pertama telah bermula dengan ceramah Maulid al-Rasul yang telah disampaikan oleh Muallim Solahuddin. Ceramah yang diselangi dengan soalan, klip-klip selawat dan nasyid ini bertujuan memugar ingatan murid dan menyemai rasa cinta mereka kepada Rasulullah s.a.w. meskipun sambutan yang dilaksanakan kali ini sebenarnya beberapa hari lebih awal daripada tarikh 12 Rabiul Awal.

Kemudian majlis diteruskan lagi dengan pertandingan kuiz Maulid al-Rasul untuk murid-murid Tahap 2. Sebanyak dua kumpulan daripada kalangan murid lelaki dan perempuan telah dibentuk bagi pertandingan yang telah dibahagikan kepada kategori murid lelaki dan murid perempuan. Setiap kumpulan pula mempunyai seorang wakil murid daripada Tahun 4, 5 dan 6. Kedua-dua Kumpulan Pertama telah menjuarai kategori murid lelaki dan murid perempuan dalam pertandingan kuiz yang berakhir pada jam 10.15 pagi ini.

Peserta kuiz katergori murid lelaki.

Peserta kuiz kategori murid perempuan.



Selanjutnya majlis diteruskan lagi pada jam 11.00 pagi dengan acara Majlis Khatam al-Quran yang penuh warna-warni. Murid-murid dan guru telah berpakaian kebangsaan sedari pagi lagi dan majlis tidak ketinggalan dengan tradisi 'pulut semangat' atau pulut kuning bagi menyerikan lagi suasana.

Tuan Guru Besar, En Azmi bin Senik, telah diberikan penghormatan bagi merasmikan majlis yang julung kalinya diadakan pada peringkat sekolah. Dalam ucapannya, beliau mengharapkan murid-murid dapat mempelajari selok belok bacaan al-Quran sehingga dapat menggayakan bacaan dengan sempurna dan penuh tartil. Di samping itu juga beliau menyeru agar semua warga sekolah dapat menghayati kandungan al-Quran yang merupakan kalamulLah dan mukjizat baginda Rasulullah s.a.w. bermula dengan pembudayaan program "Bacaan Surah al-Fatihah dan Mengingati Terjemahannya" yang telah dilancarkan sedari awal bulan Syawal tahun ini.
Ucapan perasmian oleh Tuan Guru Besar
Ustaz Ramlan memimpin sesi bacaan Khatam al-Quran
 


Kemudian Ustaz Ramlan telah memimpin bacaan al-Quran dan doa bagi acara khatam al-Quran bersama para guru dan murid. Pada tahun ini seramai enam orang murid yang terdiri daripada Tahun 4, 5 dan 6 telah berjaya menamatkan bacaan al-Quran. Mereka ialah Nur Aliya Maisarah bt Mohd Pakrudin (Tahun 4), Nur Dini Atiqah bt Mohd Sedek dan Minhah Anis Humaira bt Mohd Asri (Tahun 5) serta Afifah Zulfa bt Saadon, Muhammad Nor Haiqal b Normi dan Nur Intan Syuhaada bt Che Sabry (Tahun 6).

Pada sesi penutup pula GPK Pentadbiran, Ustazah Rusnani binti Mamat, telah menyampaikan hadiah bagi pemenang acara Kuiz Maulid al-Rasul bagi pihak sekolah.




Manakala Tuan Guru Besar pula telah menyempurnakan acara penyampaian sijil, cenderamata dan pulut kuning kepada murid yang telah khatam al-Quran. Majlis ini akhirnya melabuhkan tirainya pada jam 12.50 tengah hari.

Pengerusi slot Majlis Khatam al-Quran yang keletah, Cikgu Asri.




No comments:

Post a Comment