Tuesday, November 20, 2018

Kem Bestari Solat (KBS) Perdana



Pada 8 November yang lalu, pihak SK Pechah Rotan, melalui Panitia Pendidikan Agama Islam, telah melaksanakan Program Kem Bestari Solat (KBS) Perdana peringkat sekolah. Program ini telah melibatkan murid-murid daripada Tahun 1 sehinggalah murid Tahun 6. 

Sesi taklimat di Dewan Ibnu Sina

Berbeza dengan KBS biasa yang diadakan dua kali setahun, pendekatan dalam KBS Perdana ini hanya menumpukan sisi-sisi tahap penguasaan lemah dalam kalangan murid. Justeru program yang bermula dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.45 tengah hari ini telah dibahagikan kepada dua sesi.

Pada sesi pertama, iaitu selepas sesi taklimat dijalankan, murid-murid telah dikehendaki bergilir dalam tiga LDK yang menumpukan kepada aspek bacaan dalam solat. Hanya bacaan doa iftitah, doa qunut dan bacaan tahiyyat akhir sahaja yang diberi penekanan kepada semua murid dalam sesi ini. Para guru telah memberi kerjasama yang sangat baik kerana telah membantu pihak panitia sebagai fasilitator kepada enam buah kumpulan murid dalam kem kali ini.

Sesi LDK bacaan dalam solat


 
Pada sesi kedua pula yang bermula selepas waktu rehat, sesi pembelajaran dipecahkan kepada dua pengisian. Pengisian pertama adalah melibatkan aktiviti Amali Wudhu'. Ustaz Ramlan telah memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada murid tatacara mengambil wudhu' yang betul. Kemudian beliau dan Ustazah Nur Adilah telah mengendalikan murid-murid untuk melakukan sendiri praktikal mengambil wudhu'.

Amali Wudhu' di Surau al-Rayyan

Sejurus selepas pengisian pertama pula Muallim Solah telah menerangkan tentang tatacara menunaikan solat jenazah dan praktikalnya. Meskipun menunaikan solat jenazah merupakan suatu fardhu kifayah dan kebiasaannya ditunaikan oleh golongan dewasa, namun pendedahan sebegini adalah bagi memberi persediaan awal kepada murid tentang kewajipan mereka sebagai muslim dan masyarakat. Mudah-mudahan anak-anak SK Pechah Rotan mampu memberi sumbangan yang signifikan kepada keluarga mereka apabila diperlukan serta insaf dan terdidik dengan firman Allah s.w.t.:"setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya."








No comments:

Post a Comment